Search This Blog

Friday, August 26, 2011

PerTunanGan YanG paSti

untuk renungan bersama


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun
yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya
beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang
diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada.
Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar
berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam
gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di
jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak
juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat
ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di
bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa
melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan
sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku
yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak
sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik
Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap
langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah
yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama…
Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian,
Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku
berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat
kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum,
tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka
pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum
mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam
penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
“Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?”
Aku menjawab tenang.. “Warna putih, bersih…”
“Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat.”
“Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan.”
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu… helaian demi helaian
naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam
Pertama… Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu
saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah
juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari
bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke
belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku
mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam
al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah
yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh.
Mudah-mudahan aku tenang… As-Syifa’ aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora
hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini
rasanya orang-orang yang mendahului.
“Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?”
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku
masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat
penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara
aku dan keluarga.
“Insya Allah, ‘dia’ tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan
Allah. Itu yang paling utama.”
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata
mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
“Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!”
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan
ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang
berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan ‘dia’ yang mendekatkan
aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap
waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa’ ku al-Quran, tidak
lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan
akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

“Bila enti menikah?”
Aku tiada jawapan khusus.
“Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu…” Aku masih
menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar
aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
“Jemput ana tau!” Khalilah tersenyum megah.
“Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana
banyak-banyak!”
Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu
melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya
sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
“Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti…”

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan
tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung
aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti
orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan
aku katakan sekali lagi kepada ibu…
“Usah berlebihan ya…”
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
“Insyirah, jom makan!”
Aku tersenyum lagi… Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
“Tafaddal, ana puasa.”
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
“Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat… Tarikhnya
tak tetap lagi ke?”
“Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi.”

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku
sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan
penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan
terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku,
itu sahaja.
……………………..
………….
“innalillahi wainna ilaihi rajiun…”
“Tenangnya… Subhanallah. Allahuakbar.”
“Ya Allah, tenangnya…”
“Moga Allah memberkatinya….”
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian.
Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak
menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok ‘dia’ yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok ‘dia’ yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil ‘ibrah dari sosok ‘dia’ yang
mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar…
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku… Sentiasa
ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam
rafa’nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya
merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
“Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan ‘dia’ yang
mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa,
yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku
tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau
redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai
sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui…”


Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian…
“Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?”
Ibu tenang menjawab... “Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang
yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat
pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya
beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh.”
“Allahuakbar…” Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
“Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama…”
Ibu angguk, tersenyum lembut… “Ini nak, bukunya.” Senaskah buku
bertukar tangan, karangan Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk
‘Malam Pertama di Alam Kubur’.
“Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis… Khalilah tak tahu mak cik.”
“Dan sejak dari hari ‘khitbah’ tersebut, selalu Insyirah mahu
berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan…”
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap
kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.
“Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan
satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan
MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku
kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku
bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang
perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil ‘ibrah
bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,
seteguh dan setabah hati seorang ibu.”
Semoga bermanfaat..
Salam kasih :)

Friday, July 29, 2011

TeRLaNjuR:..PadaH laYaN ciNta MonYeT

 “Apa yang dimaksud ‘terlajur’ pada ayat ustaz tu?” Tanya seorang pembaca setia laman blog penulis.
“Usahlah ditanya, cukuplah kalimah tersebut menghantui kepala saya sejak kebelakangan ini” Penulis cuba meredakan hati yang sedikit risau melihat gelagat muda-mudi masa kini.
Mungkin para teman dan pembaca tertanya-tanya kenapa terlalu banyak mesej pesanan di yahoo messenger hingga memeningkan sesetengah sahabat-sahabat, tidak cukupkah sekali dihantar?
Penulis terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab banyak pertanyaan sama yang diajukan di dalam e-mail, bahkan yang terbaru betul-betul menguji kesabaran penulis. Apakah ini yang dikatakan darah muda yang berani memperlakukan perbuatan terkutuk ini?
Ada yang mengaku telah ditebuk oleh teman lelaki, terkapai-kapai mencari jalan pulang kepada-Nya.
Allahu Rabbi…!
Namun paling merisaukan penulis, penyakit kronik ini berlaku di kalangan anta anti yang mempunyai asas ilmu agama sebagai pendiding. Ingatkan cerah hingga ke petang, hujan pula dipertengahan.
Inilah yang penulis persoalkan.

 وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya” al-Israa’ (17:72)
Ada yang berpendapat fatrah masa pertunangan adalah waktu untuk berkenal-kenalan, jadi apa salahnya untuk keluar bersama ke taman-taman rekreasi, pusat hiburan dan sebagainya. Ini adalah pandangan yang fasad dan tidak diiktiraf oleh agama. Mana tidak semua hujah atau dalil tersebut berbaur khayalan dan bayangan iblis bagi memuaskan nafsu semata-mata.
Pendirian penulis berkenaan dengan no couple sebelum kahwin sememangnya tetap tegar dari sekolah, universiti sehinggalah penulis akan merasai nikmat berkahwin itu sendiri. Mungkin penulis antara individu yang amat tajam dalam mengkritik individu yang bercinta hingga meleret-leret sebelum kahwin.
Terkadang terasa rimas dengan sikap sesetengah daripada kawan-kawan yang bercinta kononnya, sungguh mengajar erti kesabaran. Mabuknya melampau-lampau. Tunduk ego kelakian, dan lembik tengok para wanita.
Bahkan penulis sering beranggapan golongan yang bercinta sebelum kahwin ini kadang-kadang boleh menjadi munafik. Bagaimana pula? Kenapa tidak, semasa bercinta semuanya sikap yang baik-baik ditonjolkan, daripada cakap-cakap romantik, hadiah yang tidak pernah putus-putus, puji-pujian yang melangit dan sebagainya. Tetapi selepas kahwin, berapa ramai yang kekal dengan lakonan masa cinta tengah mekar subur sebelum ini, jarang sekali akan ketemu mereka yang masih ingat pada skrip yang pernah dihamburkan dulu.
Inilah salah satu puca perceraian yang tinggi di tanah air kerana pasangan berasa tertipu selepas belang sebenar pasangan mereka terdedah bilamana merasai sendiri bayangan rumahtangga yang sebenar.

TIADA MATLAMAT HIDUP JELAS
Bagi yang sudah terdedah dengan gaya hidup bebas, keluar bersama untuk dating, beriba dan bertepuk tampar bukanlah sesuatu yang pelik. Penulis terkedu mendengar kisah hidup masyarakat muda-mudi Malaysia yang sudah ala-ala barat. Masalah ber-couple dan membawa balik pasangan ke rumah sudah menjadi perkara biasa, yang hairannya ibu bapa sendiri yang merestui hubungan haram itu.
Belum cerita lagi tidur sekatil yang makin menjadi ‘biasa’. Maksiat? Dosa? Semunya tidak terasa dek kerana matlamat menghalalkan cara.
“Niat kami baik, bukan nak main-main pun, sampai masa kami kahwin la. Kamu sibuk kenapa? Macamlah baik sangat”
Biasa dengarkan ayat di atas?
Lain pula ceritanya dengan pasangan yang berkopiah dan bertudung litup, terkadang penulis tergelak keseorangan dengan lakonan wara’ mereka. Berhenti solat di masjid semasa keluar bersama, maklumlah alim dan wara’, miscall qiamullail, sms tazkirah dan sebagainya antara skrip murahan harian mereka.

Mabuk orang bercinta ni memang dahsyat. Mengapa mabuk, rindu dendam yang sama tidak diaplikasikan dalam bercinta dengan Allah Taala. Pelik bukan? Mulut kita mengaku cinta Allah Taala, sayang Rasul s.a.w, namun amalannya masih jauh daripada hakikat sebenar.
“Macam mana nak kenal peribadi bakal isteri kalau tak bergayut dulu” antara alasan yang pernah diberikan kepada penulis.
Teringat penulis cerita lama orang tua kita yang berkahwin dan hanya mengenal pasangan masing-masing pada hari perkahwinan. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang kenal sampai ke dalam kain sebelum di-Ijab dan Qabul.
Pastinya kenyatan ini dijawab kembali: “Ala itu dulu, sekarang dunia sudah maju, takkan nak ikut cara datuk nenek kita zaman jepun dulu” Penulis terkedu mendengar ayat berapi ini.

SAY : “NO COUPLE”
Persoalan cinta sebelum kahwin ini merupakan tajuk yang panjang. Cinta tidak semestinya membawa kepada couple, namun bahkan cinta boleh menjadi wasilah kepada mungkar lain yang mungkin berlaku tanpa couple.

 وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” al-Furqan (25:74)

Magnet jantina ini sebenarnya satu fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini bukanlah perkara baru bagi kehidupan pelajar ditambah lagi dengan faktor umur di alam kampus tarikan untuk berpasang pasangan merupakan perkara lumrah dan mendarah-daging dalam diri mereka.
Perkenalan di alam sekolah, kenal semasa kursus persediaan, kenal sebab sekelas atau satu universiti, kenal kerana pertukaran nota, bahkan kenal sewaktu sama-sama berprogram merupakan noktah pemulaan kepada eposid cinta remaja, mungkin cinta monyet.
Jadi bagi yang sudah bermula untuk mencari, semak balik niat anda. Bagi yang sudah tersasar jauh jadikan cinta Allah Taala benteng ampuh dalam mengawal karenah cinta anda yang bergelora. Akhirnya pesanan penulis kepada semua yang ingin dan tengah bercinta, jangan jadikan couple anda punca tawar hubungan suami isteri selepas kahwin.
Mengapa perlu mencari marah Allah Taala semata-mata mencari bahagia manusia yang tiada jaminan.
Jauhilah maksiat bercinta sebelum kahwin, sinonimnya cinta monyet ini.
“Ya Allah. Kami ingin belajar untuk mentaati perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu, duhai Allah”. amin

artice: Tuan Mohd Reza (i luv islam)

Thursday, July 21, 2011

TiDaK BeRtEguR SaPA....

Dalam sepotong hadis yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi, diceritakan daripada seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari bahawasanya Nabi saw bersabda,

لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث , يلتقيان فصد هذا ويصد هذا ,
وخيرهما الذى يبداء بالسلام

Maksudnya : Tidak halal bagi seorang Islam itu tidak menegur sapa saudaranya lebih daripada tiga hari, berjumpa keduanya maka berpaling seorang ke tempat lain dan seorang lagi ketempat lain. Yang lebih baik daripada dua orang ini ialah siapa yang memulakan salam.

Daripada hadis ini dapat kita pengajaran bahawa orang Islam sesama Islam jika bergaduh tidak boleh tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Menurut Imam An-Nawawi rhm, jika seseorang itu tidak bertegur sapa dalam tempoh 3 hari, perbuatan itu dimaafkan, kerana tabiat manusia itu memang ada sifat marah, moga-moga dalam tempoh tiga hari itu marah masing-masing akan hilang dan kembali sejuk untuk berdamai. Tetapi sekiranya lebih daripada tiga hari, masing-masing masih tidak bertegur sapa maka hukumnya adalah haram dan kedua-duanya dikira berdosa.

Jika seseorang memberi salam tetapi tidak bertegur sapa, apakah itu juga dikira berdosa ? Menurut Imam Syafie dan Imam Malik rhm, berpandukan hadis di atas, memberi salam itu sudah memadai kerana bahawasanya salam itu sudah menepati maksud bertegur sapa dan menghapuskan dosa.

Manakala tidak bertegur sapa dengan ahli maksiat itu hukumnya adalah harus, sekiranya setelah diberi nasihat masih berdegil juga tidak mahu meninggalkan maksiatnya. Tetapi sekiranya ahli maksiat itu telah bertaubat maka wajiblah bertegur sapa dengannya.

Mana-mana umat Islam yang tidak bertegur sapa, akan ditutup pintu syurga ke atas mereka sehinggalah mereka berdamai. Sabit dengan keterangan hadis sahih yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi,

عن أبى هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : تفتح أبواب الجنة يوم الأثنين والخميس فيغفر فيهما لمن لا يشرك بالله شيئا الا المهتجرين يقال : ردوا هذين حتى يصطلحا

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah saw bersabda : Telah dibuka pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis, maka diberi keampunan pada kedua-duanya bagi mereka yang tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu melainkan ke atas dua orang yang tidak bertegur sapa.. Maka dikatakan kepada pintu syurga, tolaklah kedua-dua orang itu sehinggalah mereka kembali berdamai.

Sunday, July 17, 2011

OraNg KaTa aKu KuaT!!!...taPi???

ramai yang kate aku nie seorang yang kuat ...tabah....bersemangat..
betul k??? aku pun rase macam xpercaya....

yelah...mungkin orng tngok luaran aku yang sentiasa bersemangat...
tapi dalaman...aku cuba buat2 kuat...huhu... itulah kenyataannya..
nak kata ape lagi...
biasalah bila kita diuji..ada ujian yang kita boleh lakukan dengan senang...
ada juga yang kita rase berat... dan ada juga kita rase nak menyerah... tu mungkin pandangan aku..

setiap hari aku akan lalu perkara yang sama...bila ada yang jumpa aku... mesti diaorang tanyer...
"akak nie kulit muka putih k akak sakit???"...... kenapa??(aku tanyer)...
"xdalah..putih semacam je kulit akak..."....(aku hanya senyum je...)
kadang2 ade je orng tnyer..."tierah...awk demam k??"...macam biaselah jwpan aku hanya senyum...

minggu nie..kedua org tua kudatang k ipoh...(terharu pun ade)...
padahal baru 2 minggu diorang hantar aku kesini utk aku teruskan pembelajaran yg berbaki 2sem...
tutut...minggu nie datang lagi... ada jugak kawan ku jealous... yelah...ibubapaku selalu datang...
tapi sebolehnyer...aku xnak susahkan mereka... yelah..terengganu ngan ipoh tu jauh lah juga...
mungkin diorang risau ngan keadaan kesihatan aku...
(Alhamdulillah..ya Allah...kau telah kurniakan aku kedua ibubapa yang sangat penyayang..dan tidak pernah lupa dalam memberi didikan kepada aku dan adik beradikku yang lain)

suka...memang suka...bila diorang datang...tapi...
satu je buat aku berfikir.....ibuku suruh aku tangguh dulu belajar.... suruh jaga kesihatan...
ye aku tahu...kesihatan itu penting... tapi...mungkin aku tidak sanggup membiarkan cita2 aku tergantung... bagi ku masa sangat penting...selagi aku mampu...akan ku teruskan....
biarlah aku boleh sambung hngga peringkat ynag lebih tinggi....insyaAllah...


Ya Allah...berikanlah kekuatan..ketabahan..buat diriku...untuk teruskan kehidupan ini...
Ya Allah..berikanlah kebahagian dan kejayaan buat kedua ibubapaku di dunia dan akhirat... tempatkanlah kami di tempat hambamu yang soleh dan solehah....
Ya Allah..permudahkanlah segala urusan kami...dan kau peliharalah hati dan jiwa kami...biarlah hati kami sentiasa ingat padamu.dan janganlah kau pesongkan akidah kami.dan jauhkan kami dari syaitan yang direjam..
Amin....

Saturday, July 9, 2011

KuAtKaH AkU unTuK diUji??

tipulah aku seandainya aku menyatakan diri tidak pernah terlintas memikirkan kenapa aku?
dalam keegooan ..kadang kadang diri ini melulu menuduhmu...
padahal...aku sedar..semua ni adalah ujian darimu...
ku juga sedar bahawa engkau yang Maha Kuasa...tidak akan membebankan hambamu dengan dugaan yang tidak mampu hambamu tanggung...

adakah mungkin syaitan selalu menghasutku???
atau aku selalu lalai dengan perintahmu??
atau aku tidak mengikut perintahmu??

ya Allah...sesungguhnya aku cuba kuatkan diri...
aku cuba memberi senyuman utk orang yang ku sayang disekelilingku...
walaupun aku merasa diri ini sudah tidak mampu lagi diuji...
setiapkali ujian datang menimpa aku cuba bangkit...
namun engkau masih lagi mengujiku...

sehingga aku bertanya pada diriku.... sampai bila aku akan terus diuji.??
jahatkah aku untuk bertanyakan semua ini??
salah kah aku berfikir sebegini??

Ya Allah...jangan lah kau lemahkan imanku...
Ya Allah...bimbingkan aku demi mengejar cintamu...
kau berikanlah aku kelapangan hati dalam menerima semua ini...
kau kuatkan aku...kau cekalkan aku demi cintaku padamu ya Allah..
terimalah cintaku ini...sesungguhnya....cintaku ini hanya untukmu ya Allah...

demimu aku menjaga hatiku...
demimu aku melakukan pengorbanan...
namun ku sedar untuk mendapat cintamu adalah tinggi nilainya....
aku akan cuba sedaya upaya untuk mengerjarnya...
insyaAllah...itu janjiku....